Friday, 29 June 2012

KESALAHAN FRASA ADJEKTIF

KESALAHAN FRASA ADJEKTIF YANG TERBINA DARIPADA KATA ADJEKTIF DASAR
a. Kata adjektif yang bersifat emotif ( pernyataan perasaan ) tidak boleh
    menerima akhiran -an.
    Samad masih sayangkan isterinya (salah)
    Samad masih sayang akan isterinya (betul)

b. Frasa adjektif yang hendak diperluaskan tidak boleh melenyapkan kata sendi
    antara frasa adjektif yang bersifat emotif dengan frasa nama.
    Saya amat minat seniman agung P. Ramlee (salah)
    Saya amat minat akan seniman agung P. Ramlee (betul)

c. Dua unsur penguat tidak boleh hadir di depan atau di belakang kata adjektif
    serentak.
    Amat miskin benar kehidupan kami sekarang (salah)
    Miskin benar kehidupan kami sekarang (betul)

d. Walau bagaimanapun, dua unsur penguat yang tertentu boleh hadir berderetan
    sebelum kata adjektif.
    Makanan itu amat lazat sungguh (salah)
    Makanan itu sungguh amat lazat (betul)

e. Kata penguat maha merupakan awalan pinjaman bahasa Sanskrit yang
  membawa maksud amat atau sangat. Kata penguat maha tidak boleh
  berfungsi seperti mana amat atau sangat yang boleh hadir sebelum atau

sesudah kata adjektif. Sebaliknya kata penguat maha hanya boleh hadir
sebelum kata adjektif dan ditulis berasingan dengan kata adjektif tidak seperti
 mana fungsinya sebagai imbuhan awalan pinjaman yang ditulis secara
bercantum dengan kata dasar.
    Mahaluas bumi ciptaan Tuhan ini (salah)
    Maha luas bumi ciptaan Tuhan ini (betul)

f. Kata nafi bukan tidak boleh mendahului kata adjektif melainkan frasa adjektif
   tersebut mengandungi dua maklumat yang bertentangan.
    Dia bukan pendek (salah)
   Dia tidak pendek (betul)

g. Kata kuat kurang tidak boleh digunakan untuk menegaskan kata adjektif yang
  mempunyai ciri negatif.
    Keadaannya kurang teruk sejak semalam (salah)
    Keadaannya kurang baik sejak semalam (betul)