Wednesday 11 July 2012

Petikan PBS Band 2


Pertubuhan Sukarelawan Belia

Pertubuhan sukarelawan belia amat penting dalam masyarakat. Melalui pertubuhan  ini, belia mempunyai wadah untuk menyalurkan idea dan tenaga bagi membantu masyarakatnya. Langkah ini dapat memupuk nilai murni di kalangan belia. Nilai tersebut termasuklah toleransi, kerjasama, rajin, perpaduan dan patriotisme. Walau bagaimanapun, dewasa ini sikap sukarelawan di kalangan belia telah berkurangan. Hal ini berlaku kerana masyarakat lebih mementingkan material. Sesuatu pekerjaan dilakukan untuk mengharapkan pembalasan yang berupa material. Akhirnya, beberapa pertubuhan sukarelawan belia berkeadaan hidup segan mati tak mahu.

Usaha perlu dilakukan bagi menggalakkan golongan belia bergiat aktif dalam pertubuhan sukarelawan. Oleh itu, semua pihak perlu menggembleng tenaga bagi menggalakkan para belia kembali menghayati nilai kemasyarakatan yang wujud dalam adat resam bangsa seperti permuafakatan, kejiranan dan kekeluargaan. Barisan pemimpin pertubuhan belia hendaklah  mempertahan konsep murni dalam masyarakat seperti ‘masyarakat penyayang’ , ‘masyarakat berbudaya’ dan tanggungjawab sosial. Pertubuhan ini juga perlu membentuk belia mengikut acuan kita sendiri. Oleh itu, setiap belia harus melibatkan diri dalam pertubuhan belia di tempat masing-masing.