Tuesday, 17 July 2012

Strategi Meningkatkan Daya Ingatan

Pendahuluan

Manusia mempunyai keupayaan untuk mengingat yang agak terbatas.  Tidak semua perkara yang memasuki ingatan kita kekal dalam ingatan.  Akan tetapi, manusia boleh meningkatkan kema-hiran mereka untuk mengingat melalui latihan dan cara yang sistematik.  Berikut disenaraikan cara dan strategi cara dan strategi yang boleh dicuba untuk meningkatkan daya ingatan.

 

  Minat terhadap apa yang dipelajari

Ini adalah syarat yang pertama.  Kita tidak boleh memaksa otak untuk mengingat sesuatu yang tidak diminati.  Proses mengingat akan lebih licin jika anda memang meminati apa-apa yang yelah dipelajari.

 

  Belajar dengan tujuan untuk mengingat

Belajar dengan tujuan mengingat lebih baik daripada belajar sekadar untuk faham.  Oleh itu, apabila anda belajar, dari awal-awal lagi anda sudah bersedia untuk mengingati apa yang dipelajari.  Dengan ini, anda akan mengingat secara spontan.  Sebaik sahaja sesuatu maklumat diterima oleh deria anda dan kemudian disalurkan ke otak, secara automatik anda akan dapat mengingati kerana tujuan dan matlamat anda begitu jelas.

 

  Berikan tumpuan sepenuhnya semasa belajar

Sama ada anda sedang mendengar guru mengajar atau anda sedang membaca, tumpuan yang tidak berbelah bahagi adalah amat penting.  Daya ingatan berkait rapat dengan daya tumpuan.  Semakin banyak tumpuan diberikan, semakin kuat daya ingatan anda.  Ingatan mesti disengajakan dengan cara memberi tumpuan sepenuhnya kepada apa yang diajar atau disampaikan oleh guru.

 

  Fahami dahulu sebelum mengingat

Anda perlu faham maklumat atau fakta yang akan diingati untuk memudahkan maklumat tersebut disimpan dalam ingatan.

 

  Mengingati fakta dalam satu rangkaian

Biasanya adalah lebih mudah untuk mengingat sesuatu fakta, maklumat atau perkara jika dinyatakan dalam satu rumpun dan berkait rapat antara satu sama lain.  Ingatan menjadi lebih mudah jika satu-satu fakta itu dapat dikaitkan dengan satu fakta yang lain.

 

  Latih tubi dan ulang berkali-kali

Ingatan anda menjadi kukuh jika maklumat yang ingin diingati selalu diulang-ulang.  Latih tubi dan ulangan akan mempercepatkan lagi proses ingatan.

 

  Menilai kembali apa yang dipelajari

Anda perlu menguji kembali ingatan dan kefahaman anda terhadap maklumat yang dipelajari.  Cara yang berkesan ialah dengan menggunakan kaedah perbandingan dan perbezaan.  Anda perlu membezakan maklumat yang betul dengan yang salah.  Anda boleh menggunakan soalan-soalan seperti soalan objektif untuk menguji ketajaman ingatan anda.

 

  Mengguna dan mencuba apa yang dipelajari

Anda akan lebih mudah mengingat pelajaran sekiranya anda sendiri mengamalkan apa yang dipelajari.  Oleh itu, anda perlulah  :

- Hubungkan pelajaran dengan perkara yang sudah diketahui.  Contohnya,

  mengingatkan nombor telefon yang diberi dengan mengaitkan dengan fakta

  yang diketahui.

 

  Nombor telefon  :  5776242

  Boleh dipecahkan kepada 57-76-242

  Boleh diingat sebagai   :

                                     -  Tahun kemerdekaan Malaysia  (57)            

                                     -  Umur nenek  (76)

                                     -  Nombor rumah  (242)         

 

- Susun huruf-huruf tajuk sehingga dapat dijadikan perkataan atau bunyi yang

  senang dikenali.  Atau ambil dua huruf awal setiap perkataan dan

  mengingatkan fakta.

 

 - Kaedah-kaedah lain  :

 

     1.  Mnemonik (menyusun semula apa yang dipelajari dalam bentuk

          mudah diingat dengan menggunakan kreativiti tersendiri).

          Contohnya untuk menghafal nama-nama bandar seperti  :

            -  Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta, Manila, Singapura.

            -  Boleh diingat dengan mencipta ayat seperti berikut  :

               Kalau Basi Jangan Makan, Sakit!

 

     2.  Akronim (membuat kependekan kepada suatu senarai maklumat yang

          perlu diingati).  Kependekan seperti nama jabatan kerajaan seperti 

          INTAN, KEJORA dan sebagainya.

 

  Rumusan

Kepintaran semulajadi sahaja tidak mencukupi untuk menentukan seseorang itu boleh berjaya dalam pelajaran.  Kepintaran semulajadi perlu disokong dengan pelbagai kemahiran belajar.  Kemahiran-kemahiran belajar bukan sahaja membantu mempertajamkan dan memperkukuhkan kepintaran dan kebolehan semulajadi tetapi lebih daripada itu dapat meletakkan asas belajar dengan bersistem dan dengan itu seluruh sistem pembelajaran akan berjalan dengan lebih lancar dan terarah.

 

Apa yang penting sekali ialah setiap pelajar yang ingin berjaya haruslah memperlengkapkan diri mereka sebelum menduduki peperiksaan untuk menuju ke arah itu.  Ibu bapa, teman dan rakan sejawat perlulah mempunyai peranan yang paling istimewa dalam menyalurkan keyakinan dan meniupkan semangat supaya pelajar-pelajar itu terus terangsang.

 

Teguran, ingatan dan tiupan semangat sedemikian sudah tentu membantu pelajar untuk berjaya.


SELAMAT BERJAYA