Pertubuhan
Sukarelawan Belia
Pertubuhan sukarelawan belia amat penting dalam
masyarakat. Melalui pertubuhan ini,
belia mempunyai wadah untuk menyalurkan idea dan tenaga bagi
membantu masyarakatnya. Langkah ini dapat memupuk nilai murni di kalangan
belia. Nilai tersebut termasuklah toleransi, kerjasama, rajin, perpaduan
dan patriotisme. Walau bagaimanapun, dewasa ini sikap sukarelawan di
kalangan belia telah berkurangan. Hal ini berlaku kerana masyarakat lebih
mementingkan material. Sesuatu pekerjaan dilakukan untuk mengharapkan
pembalasan yang berupa material. Akhirnya, beberapa pertubuhan sukarelawan
belia berkeadaan hidup segan mati tak mahu.
Usaha perlu dilakukan bagi menggalakkan golongan
belia bergiat aktif dalam pertubuhan sukarelawan. Oleh itu, semua pihak perlu menggembleng
tenaga bagi menggalakkan para belia kembali menghayati nilai kemasyarakatan
yang wujud dalam adat resam bangsa seperti permuafakatan, kejiranan dan
kekeluargaan. Barisan pemimpin pertubuhan belia hendaklah mempertahan konsep murni dalam
masyarakat seperti ‘masyarakat penyayang’ , ‘masyarakat berbudaya’ dan
tanggungjawab sosial. Pertubuhan ini juga perlu membentuk belia mengikut
acuan kita sendiri. Oleh itu, setiap belia harus melibatkan diri dalam
pertubuhan belia di tempat masing-masing.