Tuesday, 2 December 2014

Pengiraan harga petrol tidak telus


RAFIZI Ramli, Ahli Parlimen Pandan mendedahkan bahawa pengiraan harga petrol RON95, RON97 dan diesel tidak telus dan tidak selari dengan harga pasaran dunia.

Dalam kenataan medianya, beliau mendedahkan bahawa harga rujukan minyak mentah Brent pada hujung minggu lepas mencecah USD68 setong yakni harga sepatutnya sekitar RM1.70.

Berikut kenyataan penuh Rafizi.

Pengumuman harga baru tanpa subsidi bagi RON95, RON97 dan diesel bermula 1 Disember 2014 membayangkan harga petrol dan diesel akan terus dimanipulasi oleh Barisan Nasional dan menjadi beban utama rakyat di masa akan datang. Walaupun Dato’ Seri Najib Tun Razak menggunakan alasan harga yang dibayar oleh rakyat sekarang adalah mengikut harga pasaran, perbezaan di antara harga pasaran dan harga yang ditetapkan Barisan Nasional adalah terlalu ketara.

Harga rujukan minyak mentah Brent di hujung minggu lepas telah mencecah USD68 setong, iaitu penurunan sebanyak 35.2% dari harga sebelum kejatuhan pasaran minyak mentah iaitu sekitar USD105 setong. Harga purata minyak mentah Brent sepanjang bulan November 2014 ialah sekitar USD76 setong, iaitu penurunan sebanyak 27.6% dari harga sebelum kejatuhan pasaran minyak.

Harga rujukan minyak mentah Brent ini menentukan harga rujukan produk petroleum RON95, RON97 dan diesel yang didagangkan di Singapura dan digunakan sebagai asas menentukan harga petrol dan diesel di negara ini. Oleh itu, jika harga rujukan minyak mentah Brent telah jatuh di antara 27% hingga 35%, sudah tentu penurunan RON95, RON97 dan diesel juga adalah dalam lingkungan yang tidak banyak berbeza dari itu.

Malangnya, pengumuman Barisan Nasional menetapkan harga RON95 hanya turun 1.7%, RON97 hanya turun 3.5% malah diesel pula naik 1%. Rakyat tertanya-tanya kenapa ada jurang yang begitu besar di antara harga rujukan di pasaran dunia dan harga yang ditetapkan Barisan Nasional di Malaysia walaupun kononnya harga itu ditetapkan mengikut harga pasaran dunia.

Keadaan ini berpunca dari kaedah penentuan harga yang tidak telus dan memasukkan formula yang menjamin keuntungan syarikat minyak seperti yang saya nyatakan sebelum ini. Bagi setiap liter RON95 contohnya, Barisan Nasional menjamin keuntungan dan kos dibayar-balik (cost reimbursement) kepada syarikat minyak sebanyak 30 sen.

Oleh yang demikian, KEADILAN mendesak supaya Kerajaan Persekutuan menyiarkan setiap minggu secara terperinci harga rujukan RON95, RON97 dan diesel di pasaran dunia yang menggunakan harga terbitan MOPS (Means of Platts Singapore) serta kos-kos lain yang dimasukkan di dalam perkiraan menentukan harga pasaran Malaysia bagi RON95, RON97 dan diesel. Hanya dengan ketelusan sebegini Barisan Nasional boleh mengenepikan pandangan serong rakyat bahawa ia mengambil keuntungan dengan menetapkan harga minyak yang lebih tinggi kepada rakyat walaupun harga pasaran dunia telah jatuh menjunam.

Pada masa yang sama, KEADILAN juga telah menubuhkan pasukan sendiri untuk memantau harga pasaran RON95, RON97 dan diesel untuk memastikan harga pasaran di Malaysia adalah selari dengan harga pasaran dunia. KEADILAN akan mendedahkan secara terperinci harga pasaran rujukan MOPS serta kos-kos lain yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan pada setiap minggu untuk membolehkan rakyat mendapatkan harga minyak terbaik.

Perbezaan harga yang ketara ini (iaitu penurunan 2% di Malaysia berbanding kejatuhan 28% hingga 35%) juga menimbulkan tanda tanya sama ada Barisan Nasional akan mengenakan cukai petrol secara senyap-senyap seperti yang berlaku sepanjang bulan November 2014.

Kenyataan Dato’ Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan pada 31 Oktober 2014 yang disiarkan BERNAMA secara jelas menyebut bahawa jika harga minyak mentah dunia jatuh ke harga di bawah USD75 setong, harga petrol RON95 sepatutnya menjadi sekitar RM1.72 seliter. Menurut beliau, pada ketika itu Kerajaan Persekutuan boleh membuat keputusan sama ada mengenakan cukai petrol untuk mengekalkan harga yang lebih tinggi.

Pada ketika ini, harga minyak mentah dunia telah pun jatuh ke paras USD68 setong. Malah, harga rujukan purata minyak mentah bagi November 2014 dianggarkan sekitar USD76 setong. Mengikut kenyataan Dato’ Ahmad Maslan sendiri sebulan yang lepas, harga RON95 yang lebih selari dengan harga pasaran sepatutnya adalah RM1.72 seliter, bukannya RM2.26 seperti yang diumumkan semalam.

Oleh hal yang demikian, saya akan terus berkempen supaya harga minyak diturunkan melalui kempen #turunhargaminyak. Sementara menunggu demonstrasi yang telah diumumkan pada 31 Disember 2014 ini, KEADILAN akan membantu rakyat dengan mengumumkan setiap minggu harga pasaran RON95, RON97 dan diesel mengikut harga pasaran antarabangsa untuk mengelakkan Barisan Nasional mengambil kesempatan mencukai rakyat melalui cukai petrol secara senyap-senyap seperti yang telah berlaku sejak sebulan lalu. – HARAKAHDAILY 1/12/2014